-->
35500 Bidor, Perak Darul Ridzuan

Rabu, 14 Mei 2014

Kiriman Budak Trolak pada | 10:00 PG Tiada Komen

TUAN HAJI WAZIR BIN MUSTAFA, AMP.
PEGAWAI PENDIDIKAN DAERAH BATANG PADANG

Sempena
SAMBUTAN HARI GURU 2014
Guru: Pencetus Kreativiti Penjana Inovasi


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

1. Alhamdulillahirabbil ‘Alamin, marilah kita merafakkan sembah kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas limpah dan kurnia-Nya, memberi kesempatan untuk kita semua berkumpul pada pagi ini, untuk kita menyambut Hari Guru bagi tahun 2014. Sesungguhnya sambutan ini membuktikan bahawa guru tidak pernah dilupakan. Jasa dan pengorbanan guru serta seluruh warga Kementerian Pendidikan terhadap pembangunan pendidikan negara sentiasa relevan dan dihargai.

Para guru dan pelajar seklian,

2. Tema Hari Guru bagi tahun 2014 iaitu Guru Pencetus Kreativiti Penjana Inovatif. Saya merasakan ianya adalah selaras dengan transformasi pendidikan ke arah membangunkan kemahiran abad ke-21 iaitu berfikiran kritis dan kreatif serta menggalakkan perkembangan sahsiah murid yang holistik dan seimbang seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

3. Jelasnya, Sistem Pendidikan Malaysia berhasrat memastikan setiap murid mencapai potensi sepenuhnya agar menjadi generasi gemilang iaitu berpengetahuan dan berkemahiran, pemikiran kritis, kreatif dan inovatif; kemahiran memimpin, memiliki sahsiah dan nilai serta semangat identiti nasional. Hal ini sangat relevan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang terus mendukung hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk pendidikan seimbang sebagai asas aspirasi setiap murid.

4. Justeru itu, gurulah yang memainkan peranan penting sebagai penggerak agen perubahan yang sentiasa kreatif dan inovatif, mempunyai keterampilan yang tinggi dari segi personaliti, mempunyai pemikiran luas dan strategik serta mampu mencetus ledakan ilmu yang dapat diterapkan kepada murid bagi membolehkan mereka menghubungkan pelbagai disiplin ilmu untuk mencipta ilmu yang baharu bertaraf dunia.

5. Membudayakan inovasi merupakan agenda berterusan dalam gelombang transformasi pendidikan bagi melahirkan generasi muda yang bersedia mencapai kecemerlangan dalam persekitaran yang kompetitif secara global. Keupayaan warga pendidik menyediakan peluang kepada murid bagi mendapat pengalaman pembelajaran lebih bermakna, pengalaman pembelajaran dalam menyelesaikan masalah, kreativiti dan pemikiran kritikal dilihat mampu meningkatkan kemahiran murid yang dapat berfikir secara kritis dalam konteks akademik dan persekitaran kehidupan sebenar.

Para guru dan pelajar seklian

6. Ini kerana, dunia dan ekonomi yang bersifat global hari ini memerlukan pesaing yang mampu berfikir dengan lebih kritis dan kreatif dan inovatif. Justeru peranan guru sebagai penggerak generasi yang intelek dan berdaya saing perlu menghasilkan kualiti pengajaran yang gemilang dengan memperkukuh am alan terbaik dalam pendidikan.

7. Akhirnya, besarlah harapan saya agar warga pendidik yang dikasihi sekalian, terus melaksanakan amanah yang diberi dengan tulus dan ikhlas, bertunjangkan integriti dan berlandaskan etika perkhidmatan. Selaku pencetus, penggerak dan pemegang amanah kepada proses transformasi sistem pendidikan negara, warga pendidik sesungguhnya wajar mempunyai kedudukan tersendiri dalam masyarakat, seharusnya sentiasa disegani dan dipandang tinggi.

Terima Kasih Cikgu Dan Selamat Menyambut Hari Guru.

Sekian,
Wabillahi Taufik Walhidayah,
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Sumber: PPD Batang Padang

0 ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana memberi respon untuk artikel ini... Respon anda amat bermakna bagi kami.

Kunjungi lagi laman blog kami lagi di lain masa.

Carian

Bookmark Us

Digg Facebook Favorites More Stumbleupon Twitter